Sunday 25 November 2012



 PENGERTIAN TADIKA & PENDIDIKAN PRASEKOLAH
Menurut Akta Pendidikan 1996  (Akta 550), “tadika” ertinya mana-mana tempat di mana pendidikan prasekolah disediakan untuk sepuluh orang murid atau lebih manakala “pendidikan prasekolah” ertinya program pendidikan bagi murid yang berumur dari empat hingga enam tahun.

Pengenalan
Prasekolah merupakan pilihan pendidikan bagi kanak-kanak sebelum memasuki sekolah. Pra
sekolah merupakan sebahagian daripada sistem pendidikan Malaysia. Kementerian Pelajaran Malaysia menyediakan pendidikan prasekolah bagi membolehkan kanak-kanak berumur empat hingga enam tahun memasuki persekolahan lebih awal, terutamanya kanak-kanak daripada golongan berpendapatan rendah.

Pada 18 Disember 1991, Mesyuarat Jemaah Menteri mengarahkan Kementerian Pelajaran Malaysia melaksanakan program prasekolah. Manakala  pada 27 Januari 1992, Mesyuarat antara Kementerian telah bersetuju menubuhkan Projek Rintis Pendidikan Prasekolah KPM yang merangkumi 1,131 kelas di seluruh Negara ( Kementerian Pelajaran Malaysia, 2003 ).

 Matlamat & Konsep Pendidikan Prasekolah
Pendidikan prasekolah bertujuan menyuburkan potensi kanak-kanak dalam semua aspek perkembangan, menguasai kemahiran asas dan memupuk sikap positif sebagai persediaan untuk masuk ke sekolah rendah. Pendidikan prasekolah adalah satu program yang menyediakan pengalaman pembelajaran kanak-kanak yang berumur empat hingga enam tahun dalam jangka masa satu tahun atau lebih sebelum masuk ke Tahun Satu di sekolah formal. Konsep yang digunakan ialah "Belajar Sambil Bermain" dengan menekankan "Pembelajaran Bertema". Kaedah pembelajaran ialah meliputi aktiviti kelas, aktiviti kumpulan dan aktiviti individu.
Keunikan prasekolah yang dianjurkan Kementerian Pelajaran Malaysia ialah aktiviti kumpulan yang berupaya meningkatkan kualiti kawalan emosi dan intelektual. Pendedahan terhadap aktiviti ini adalah bagi menyediakan asas yang kukuh bagi pembelajaran berkonsepkan sekolah bestari ( Kementerian Pelajaran Malaysia, 2003 ).
Objektif
Menyediakan pengalaman pembelajaran kepada murid-murid yang berumur antara empat hingga enam tahun bagi menyuburkan potensi mereka dalam semua aspek perkembangan, menguasai kemahiran asas dan memupuk sikap positif sebagai persediaan masuk ke sekolah rendah.

 Lokasi & Pengurusan
Bangunan prasekolah anjuran Kementerian Pelajaran Malaysia terletak di kawasan sekolah rendah. Setiap kelas prasekolah diurus oleh seorang guru dan seorang pembantu yang dilantik oleh Kementerian Pelajaran Malaysia. Gred jawatan bagi guru prasekolah ialah DG29 atau DG41 manakala gred jawatan bagi pembantu prasekolah ialah N17, yakni setaraf dengan jawatan Pembantu Tadbir ( Kementerian Pelajaran Malaysia, 2003 ).

Murid & Kurikulum
Setiap kelas mestilah tidak melebihi 25 orang kanak-kanak berumur lima dan/atau enam tahun. Kelayakan untuk memasuki prasekolah dikira berdasarkan pendapatan keluarga iaitu di bawah RM500. Walau bagaimanapun had itu boleh dinaikkan sekiranya masih terdapat kekosongan.Pendidikan prasekolah dirangka dengan teliti bagi memenuhi keperluan dan tahap keupayaan kanak-kanak berdasarkan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Mulai tahun 2002, semua pusat pembelajaran kanak-kanak samada diuruskan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia mahupun dikelolakan oleh pihak swasta mestilah mengikut sukatan pelajaran yang telah ditetapkan dan disediakan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia.